Undi 18 merupakan salah satu usul bersejarah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dari BN dan PH walaupun dari pihak berlawanan.
Ini membuktikan betapa pentingnya usul ini dan betapa dekatnya isu ini di hati rakyat.
Ia tidak boleh dinafikan bahawa usul Undi18 ini amat signifikan, dan merupakan langkah yang baik ke arah pembukaan proses demokrasi kepada golongan rakyat yang lebih besar untuk menentukan halatuju dan masa depan negara.
Sekiranya BN dan PH boleh mengenepikan perbezaan politik masing-masing untuk menjayakan usul Undi18 ini di dalam Parlimen, maka kerajaan PN hari ini wajar memastikan Undi18 berjaya dan dilaksanakan pada pertengahan tahun ini sepertimana yang telah dijanjikan.
Laporan media pada Julai 2019 :
Undi 18: RUU lulus, Ahli Parlimen beri sokongan majoriti lebih dua pertiga
https://www.astroawani.com/.../undi-18-ruu-lulus-ahli...
Janganlah menafikan hak mengundi belia kita dengan pelbagai alasan seperti mereka “tidak bersedia” atau mereka “terlalu muda”.
Janganlah memperlekehkan suara mereka seolah-olah mereka tidak mampu membuat keputusan yang matang.
Walaupun langkah-langkah boleh diambil untuk mewujudkan kesedaran politik di kalangan golongan muda, dan memperkenalkan sistem politik dan institusi demokrasi kepada pengundi-pengundi muda yang baru ini, tetapi ia tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menangguhkan pelaksanaan Undi18.
Undi18 bakal melihatkan jumlah pengundi mencecah 22.7 juta menjelang 2023, iaitu satu peningkatan lebih 50 peratus berbanding 14.9 juta pengundi pada PRU14. Peningkatan yang amat besar ini sudah tentu amat mendebarkan hati, dan sudah tentu akan membawa perubahan politik yang amat ketara dan cabaran yang besar kepada parti-parti politik yang masih mengamalkan sikap tradisional.
Namun, ini bukan satu alasan yang baik untuk melengahkan pelaksanaan Undi18.
Sebaliknya, parti-parti politik harus mengambil inisiatif untuk mendekati pengundi-pengundi muda yang baru ini. Mereka ini merupakan harapan masa depan negara, dan mereka wajar diberi suara untuk menentukan kerajaan yang mereka mahukan.
Oleh itu, kenyataan Wan Fahysal baru-baru ini telah membangkitkan kemarahan pelbagai pihak, dan boleh dilihat sebagai satu taktik politik oleh sebuah parti yang tidak mampu, atau terlalu takut berubah mengikut peralihan masa, untuk mengekalkan kuasa politik mereka.
Justeru itu, usul Undi18 tidak patut dihalang. Sebaliknya ia patut dialu-alukan kerana ia apa yang dikehendaki semua lapisan masyarakat tak mengira bangsa dan agama mahupun perbezaan politik, dan ia juga merupakan langkah yang baik dalam membantu meremajakan sistem demokrasi negara kita.
#SuaraOrangRamai
#Undi18
#HakRakyatMalaysia
Comments
Post a Comment