Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin dipandang serong apabila Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan penangguhan pelaksanaan #Undi18 sehingga September 2022 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Undi 18, atau Rang Undang-undang (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan majoriti 2 pertiga pada 16 Julai 2019.
Apa pun alasannya, Muhyiddin dilihat cuba mengelak daripada 'pengadilan' golongan pengundi muda yang bakal mengundi kali pertama dalam pilihan raya umum (PRU) kelimabelas yang dijangka diadakan dalam tahun ini, memandangkan golongan tersebut biasanya lebih cenderung untuk tidak menyokong kerajaan yang sedang memerintah.
Sebelum ini, beliau dilihat memperalatkan proklamasi darurat untuk menggantung persidangan Dewan Rakyat, sekali gus menyekat proses demokrasi berparlimen serta semak dan imbang. Tindakan ini telah mendapat kecaman hebat bukan sahaja daripada Pembangkang, malah UMNO sebagai rakan dalam kerajaan. Rata-rata rakyat berpendapat ini adalah taktiknya untuk 'membeli masa' bagi 'menangkap' lebih banyak 'katak' politik yang memihak kepadanya.
Muhyiddin dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinannya bukan setakat takut kepada golongan muda dan Pembangkang, tetapi juga bayang-bayangnya sendiri, sehingga masih tidak berani meluluskan pendaftaran dua buah parti serpihan PPBM, iaitu PEJUANG pimpinan Tan Sri Mukhriz Mahathir serta MUDA pimpinan Syed Saddiq, walaupun permohonan telah dikemukakan lebih 6 bulan.
Armada, sayap pemuda PPBM, yang sepatutnya berusaha merapatkan hubungan parti dengan golongan muda-mudi, hanya tahu mengeluarkan kenyataan mempertahankan tindak-tanduk Muhyiddin dan PPBM secara membabi buta. Ini langsung tidak membantu membersihkan imej pengecut PPBM.
Muhyiddin, PPBM dan Armada patut sedar, mereka hanya boleh mengelak atau menyorok buat sementara, akhirnya mereka perlu berdepan dengan pengundi dalam PRU juga. Jangan sampai untung secupak sekarang, tetapi rugi segantang dalam PRU nanti.
#SuaraOrangRamai
Sumber
-- Sent from Gmail Mobile
Comments
Post a Comment